Malam itu sunyi. Di sudut bilik kecil, hanya kipas usang yang berpusing malas menemani resahnya.
“Kenapa aku, ya Allah?” soalnya perlahan. Suaranya tenggelam dalam sendu.
Beberapa minggu dia hidup dalam kabus. Solatnya jadi kosong. Zikirnya hilang rasa.
Namun, malam itu juga, entah mengapa, tangannya tergerak membuka mushaf. Ayat pertama yang ditatapnya seperti panah ke jantung:
Air matanya luruh. Dia tersandar, menutup wajah.
“Mungkin… mungkin ini teguran Allah untuk aku,” bisiknya.
Sejak itu, perlahan-lahan, dia mengubah langkah. Dia tidak lagi sibuk menjelaskan namanya kepada manusia. Dia lebih sibuk menjernihkan hatinya kepada Allah. Malam-malamnya mula terisi dengan dua rakaat sunyi. Tiada doa panjang. Hanya pengakuan seorang hamba yang lemah, yang mahu pulang.
Hidupnya mula tenang. Seperti cermin berdebu yang disapu perlahan, hatinya kembali jernih.
Suatu hari, dia menulis di buku kecilnya satu misi ringkas, dipanggilnya “7 Misi Kembali Kepada Al-Furqan”.
Misi pertama, dia muhasabah, menulis kesilapan-kesilapan dan kecuaian-kecuaian yang dilakukannya tanpa berdalih.
Misi kedua, dia bertekad menjaga solat awal waktu.
Misi ketiga, dia membaca satu muka al-Quran, tanpa gagal.
Misi keempat, dia tadabbur satu ayat, sekadar satu, tetapi dengan hati.
Misi kelima, dia berusaha berbuat kebaikan kecil, walau hanya sekadar memberi senyuman atau sedekah kecil.
Misi keenam, dia berkongsi satu ilmu dengan orang lain.
Misi ketujuh, dia menulis kembali rasa syukurnya, walau kecil, kerana masih diberi peluang bernafas.
Misi-misi itu mengajarnya erti "ringan" apabila belajar melepaskan beban-beban kehidupan yang pada hakikatnya tidak ada keperluan untuk disimpan. Bukan kerana fitnah itu hilang, tetapi kerana hatinya sudah tidak lagi terikat pada penilaian manusia.
Beberapa bulan kemudian, telefon pintarnya berbunyi. Satu mesej ringkas masuk:
“Ustaz, saya teringat zaman ketika belajar dengan ustaz. Terutamanya, bila ustaz berkongsi tentang tadabbur ayat-ayat al-Quran yang benar-benar menyentuh jiwa.” Doakan saya ustaz, agar terus istiqomah pada jalan menuntut ilmu dan beramal dengannya.
Dia terdiam lama. Air mata yang hampir kering kembali mengalir. Bukan kerana kesedihan, tetapi kerana rasa syukur. Rasa seolah-olah Allah memanggilnya agar bangkit semula ke jalan dakwah dengan semangat yang baru.
من دَلَّ على خيرٍ فله مثلُ أجرِ فاعلِه
“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”
Jatuh, terjatuh atau dijatuhkan bukanlah bermakna tamatlah segala-galanya. Kadangkala, jatuh adalah cara Allah mendidik hati. Mengajarnya bahawa bergantung pada manusia itu rapuh, tetapi bergantung pada Allah itu kekal.
Sejak hari itu, dia kembali ke dunia dakwah. Kali ini bukan lagi kerana mahu dikenali, bukan untuk pujian manusia. Kali ini, kerana dia mahu hidupkan kembali Furqan yang pernah hilang — cahaya yang membezakan antara benar dan salah, antara ujian dan rahmat.
Di setiap moment perkongsian ilmu, dia akan sering berdoa:
“Ya Allah, tunjukkan aku mana yang benar, dan beri aku kekuatan untuk ikutinya. Tunjukkan aku mana yang salah, dan beri aku kekuatan untuk menjauhinya.”
Dan kepada dirinya sendiri, dia berpesan:
“Jangan tunggu segalanya sempurna untuk kembali kepada Allah. Cari Dia sekarang… kerana masa kita mencari-Nya, sebenarnya Dia sudah lama menunggu kita.”
Jalan terus...
#Medanmuhasabah
#Tiadakaitandenganyanghidupmahupuntelahmati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan