Perjalanan - Putera Aiman

Sabtu, 1 Mac 2025

Diari Ramadhanku : Ke Arah Diriku Yang Lebih Baik (Ahsanu Amalan)

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah, 2: 183)

Ramadan kembali lagi. Seperti tetamu agung yang membawa keberkatan, ia mengetuk pintu hati kita, mengingatkan jiwa yang alpa, menyuburkan semangat yang layu. Di tengah hiruk-pikuk kehidupan, Ramadan hadir sebagai madrasah ruhaniyah untuk menyegarkan kembali iman yang mungkin telah lelah dalam perjalanan panjang duniawi.

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang menegakkan ramadhan kerana iman dan mengharap (pahala), maka diampuni dosa-dosanya yang lalu.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Wahai Iman! Tidakkah kau mendengar seruan Tuhanmu? Panggilan kasih sayang ini bukan sekadar satu kewajipan, tetapi satu peluang! Peluang untuk kembali kepada fitrah, membersihkan hati, dan mendekatkan diri kepada-Nya. Allah tidak meminta kita berlapar dan dahaga tanpa sebab, tetapi agar kita belajar makna sabar, syukur, dan taqwa.


Lihatlah sekelilingmu, wahai Iman! Dunia ini semakin sesak dengan kealpaan. Nafsu seringkali mengaburi mata hati. Segala kemudahan yang dikecapi menjadikan kita lalai, lupa bahawa kehidupan ini hanyalah persinggahan. Maka, Ramadan datang sebagai penyelamat, membimbing kita kembali kepada tujuan asal penciptaan – menjadi hamba yang tunduk dan patuh kepada-Nya.

Mari kita jadikan Ramadan ini titik perubahan. Bukan sekadar menahan lapar, tetapi menahan lidah daripada mengumpat, menahan hati daripada dengki, menahan diri daripada segala perkara yang mengotori jiwa. Bukankah ini peluang terbaik untuk kita muhasabah diri? Untuk memperbaiki solat yang mungkin selama ini hanya gerakan tanpa penghayatan? Untuk memperbaiki hubungan sesama manusia yang mungkin retak kerana ego dan prasangka?


Wahai Iman! Janganlah kau sia-siakan peluang ini. Sungguh, Ramadan bukan hanya tentang perubahan selama sebulan, tetapi latihan untuk menjadi insan yang lebih baik sepanjang hayat. Berdoalah, bermunajatlah, bersujudlah dengan penuh rasa kehambaan. Sungguh, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengasihi.

Sahutlah seruan Tuhanmu! Dekap erat-erat Ramadan ini dalam jiwamu. Agar saat ia pergi nanti, kita menjadi insan yang lebih dekat dengan-Nya, lebih bertakwa, dan lebih memahami hakikat kehidupan yang sebenar.

Ya Allah, jadikan Ramadan ini Ramadan terbaik dalam hidup kami. Ameen.


Ingatan tulus ikhlas buat diri dan saudara-saudaraku di jalan Allah,
Al-Faqir Ila Rabb Al-Kabir,
UMJ,
Aktivis Quran Resources

Tiada ulasan:

Catat Ulasan