بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله ربّ العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
أمّا بعد
Segala puji bagi Allah SWT yang wajib atas sekalian hamba-Nya untuk mengenali-Nya dan melazimkan diri dengan sifat taqwa serta menunaikan segala ketetapanNya. Dan Rahmat Allah selamanya ke atas baginda nabi s.a.w. yang sebaik-baik manusia dan ahli keluarganya, para sahabat yang pada diri mereka terdapat pelita yang menerangi malam yang sangat kelam.
Melahirkan satu generasi yang ampuh dalam menghadapi pelbagai badai kehidupan yang serba moden ini adalah tugas yang cukup mencabar. Namun, ia tetap perlu dipikul segenap umat yang memahami tugasnya sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi ini.
Banyak pihak yang prihatin terhadap nasib umat ini bertungkus lumus dalam gerak kerja dakwah mereka ke arah membangunkan generasi yang diharapkan ummat untuk memimpin pada masa hadapan. Namun ia tetap masih belum dapat dicapai dengan semaksimanya sebagaimana yang dicita-citakan. Maka inilah merupakan bahagian daripada usaha yang ingin dihadapkan bersama-sama untuk menarik generasi kini melalui gabungan antara teras ilmu generasi yang terdahulu melalui penyampaian yang lebih mudah dan ringan untuk dihadamkan agar lebih mudah disebatikan dalam diri remaja pada hari ini.
Semoga usaha ini bermanfaat dan mampu menerapkan nilai-nilai penghayatan iman dan Islam sebagaimana yang difahami dan digagaskan oleh generasi salafunaa as-soleh yang terdahulu menurut tahap-tahap yang digariskan dan kejelasan terhadap nilai-nilai dasar ilmu Islam.
Kembara Mujahadah Iman Serta Ilmu (Kembara M.I.S.I.) adalah sebuah usaha menerapkan nilai-nilai dasar kehidupan berpaksikan kepada keimanan dan keislaman yang dituntut oleh al-Quran dan As-Sunnah agar generasi remaja hari ini dapat diselamatkan daripada pengaruh-pengaruh nilai yang negatif yang datang daripada musuh-musuh Islam melalui serangan-serangan pemikiran dan fizikal serta yang lain-lain bertujuan menjauhkan mereka daripada penghayatan Iman dan Islam itu sendiri.
Demikianlah pula, sejarah yang panjang dendam sang Iblis terhadap nabi Adam a.s. dan keturunannya menyebabkannya tidak pernah putus asa untuk menyesatkan manusia dengan pelabagai jalan tipu daya yang sangat halus sehingga membawa kepada berlakunya pembaziran masa dan tenaga para remaja kepada keseronokan-keseronokan yang bersifat sementara ini.
Justeru itu, nilai-nilai dasar Islam ini harus difahami dengan lebih jelas dan kukuh dalam jiwa remaja agar mereka mampu memelihara dan menjaga diri mereka daripada sebarang bentuk serangan dan tipu daya yang sentiasa mengajak kepada kebinasaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak berbekalkan iman dan ilmu yang kukuh hasil daripada kembara Mujahadah ini.
Al-Faqir baru belajar berdakwah,
Mahmud bin Jamaludin & Nor Asyikin Ab Hamid
Trainer & Motivator,
Intelektual Sufi Service & Education Centre




